Thursday, June 13, 2019

MAJLIS PERSARAAN USTAZAH ZABIDAH, SK KUALA KRAU 2019

Ustazah Zabidah ( Memakai Selepang) bergambar dalam majlis persaan beliau di SK Kuala Krau.


Bersama bonda tercinta yang masih sihat dan ceria. Semoga terus cemerlang di dunia dan akhirat.

14 JUN 2019 | 10 Syawal 1440 – JUMAAT  : Hari ini menceritakan sebuah lembaran sejarah bahawa seorang guru telah menamatkan tugas rasminya, sebagai seorang pendidik iaitu Ustazah Zabidah binti Ahmad. Khidmat beliau hampir 35 tahun bertugas sebagai pendidik telah melalui pelbagai kepayahan, suka dan duka telah dilalui dengan sabar dan tabah. Akhirnya pada hari ini beliau telah mulai bersara. Kehidupan sebagai seorang pendidik tidak tampak susah dalam amalan kehidupan beliau kerana sentiasa gigih dan cekal mendidik anak bangsa demi kelangsungan yang jitu bagi bangsa, agama dan tanah air tercinta ini.
Ustazah Zabidah telah dilahirkan 17 Jun 1959 di sebuah kampung di Kuala Krau, telah meneruskan pendidikan awal di SK Kuala Tekal bermula 1966 hingga 1971. Ia tidak berhenti di sini sahaja, malah telah meneruskan pendidikan ke sebuah sekolah menengah agama tidak jauh dari tempat kelahiran beliau, iaitu SMA Darul Naim, Kuala Krau dari tahun 1976 hingga 1977.
Meneruskan cita-cita yang lebih tinggi, beliau telah meneruskan pendidikan  di SMA Khairiah, Temerloh dalam sekitar tahun 1978 hingga 1979. Seterusnya kelangsungan pendidikan beliau diteruskan setelah berjaya mendapatkan pendidikan yang lebih baik di SMA Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dalam lewat tahun 1980 hingga 1982. Kejayaan ini telah dapat menempatkan beliau ke Maktab Perguruan Islam pada tahun 1989 sebagai guru agama atau ustazah. Kesudahan itulah bermulalah sejarah baharu dalam hidupnya sebagai penjawat awam, bergelar ustazah.
Bergelar suri hati kepada Encik Masriman bin Muti, seorang pegawai polis. Keluarga beliau telah dikurniakan dengan 3 orang anak, iaitu seorang lelaki dan 2 orang perempuan. Semua ini ketentuan Allah yang Maha hebat telah melengkapkan perjalanan hidup yang bahagia dan harmoni. Semoga kebahagiaan ini berterusan hingga ke Jannah.
Walaupun kerjaya beliau sebagai ustazah tidaklah keluar jauh, dan hanya berbakti di sekitar daerah kelahiran beliau, iaitu di SK Jenderak (1989-2000) dan SK Kuala Krau (2001-2019), namun jaya baktinya amat besar yang tidak mampu diukur dengan wang ringgit apa lagi emas dan permata. Ilmu yang beliau curahkan telah mengalir dalam segenap lapisan masyarakat dan segar bagaikan mekar mawar mewangi ke seluruh alam indah ini. Semoga jasa bakti beliau yang ditaburkan selama ini, jadi jariah buat beliau dan dikenang sepanjang masa.
“Jasa bakti beliau sangat besar dan sentiasa dihargai serta akan sentiasa dikenang dalam sejarah pendidikan di tanah tumpah darah ini. “ Ujur Halimi, Guru Besar SK Kuala Krau dalam ucapan persaraan Ustazah Zabidah ini. Halimi yang juga rakan sekolah dengan Ustazah Zabidah ini, menceritakan bahawa kesukaran semasa sekolah di SK Kuala Tekal awal pendidikan dulu, membuatkan Ustazah Zabidah ini cekal dan berjiwa besar untuk menempa diri dalam bidang pendidikan.
“Akhirnya, beliau dapat menjadi seorang guru yang berjaya dan dihormati sehingga kini.” Ujar encik Halimi dalam seri ucapannya. Walaupun kenangan itu telah lama berlalu, kesukaran itu telah lama ditinggalkan, akhirnya dengan berkat kesabaran, kegigihan dan kecekalan, Ustazah Zabidah telah berjaya mengukir nama sebagai seorang pendidik dalam riwayat hidupnya.
“Bersara hanya sebagai penjawat awam sahaja, tetapi dari segi hakikatnya masih belum bersara dalam menyebarkan fahaman agama terutamanya dalam konteks akidah. Saya berasa amat takut berkaitan dengan akidah ini dan akan sentiasa memberi bimbingan walaupun saya sudah bersara pada hari ini.” Ulasan Ustazah Zabidah dalam ucapan terakhir beliau sebagai penjawat awam. Nada suara beliau sangat jelas dan ketegasannya soal pendidikan agama seperti tiada kompromi dan akan  terus memberi bakti dan bimbingan. Keiltizaman beliau adalah bukti kepada satu ukwah dan asabiah dalam dirinya sebagai pewaris nabi tidak tampak luntur dan sentiasa berkilau untuk bangsa, agama dan tanah air tercinta ini.
Akhirnya dalam majlis ini, beliau dihargai dengan pelbagai hadiah kenang-kenangan daripada anak-anak murid, sahabat dan kenalan yang lain. Majlis ini juga diserikan dengan jamuan juadah raya berkesempatan sempena syawal yang sedang dilalui ini. Semoga Ustazah Zabidah terus dikurniakan kesihatan yang baik dan semua kehidupan yang lebih baik selepas persaraan dan sentiasa dirahmati. Selamat bersara dan terus cemerlang di dunia dan akhirat.


                                     Lihat lebih banyak gambar disini


No comments:

Post a Comment