Tuesday, August 6, 2019

PEMILIHAN TOKOH NILAM DAERAH TEMERLOH 2019

Ketua Penolong Pengarah BTPN Pahang (tengah) Ketua Perpustakaan awam Daerah Temerloh (kiri) dan Ketua PKG Daerah Temerloh(kanan) bersama Pemenang Tokoh NILAM Daerah Temerloh 2019 kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah menengah





6 OGOS 2019 -  Pusat Kegiatan Guru Daerah Temerloh dengan kerjasama PERPUSPA Daerah Temerloh telah menganjurkan Pemilihan Tokoh NILAM Daerah Temerloh 2019. Pemilihan selama 2 hari ini, diadakan di pejabat Pusat Kegiatan Guru Bandar Mentakab.


        Pemilihan Tokoh NILAM  ini dijalankan selama dua hari yang mana pada 5 Ogos 2019 telah dipertandingkan kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah rendah, manakala pada 6 Ogos 2019 pula dipertandingkan kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah Menengah.

       Johan setiap kategori akan bertanding ke peringkat Negeri Pahang pula bermula 10-12 September 2019, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Pahang. Sebelum berangkat ke pertandingan peringkat negeri, Tokoh NILAM ini akan diberi pendedahan dalam Program Jelajah Tokoh NILAM selama 5 hari bermula  19 - 23 Ogos 2019 bagi memantapkan lagi ilmu pengetahuan dan ketrampilan diri.

      Majlis penutupan pada hari pertama di sempurnakan oleh Puan Faeza bt Safaruddin, Pegawai PPD Temerloh, manakala pada hari kedua dirasmikan oleh Puan Zulaiha binti Ahmad, Ketua Perpustakaan Awam Daerah Temerloh dan Tuan Haji Kamal bin Hashim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang.


                                                    LAGI GAMBAR BOLEH LIHAT DISINI

































Wednesday, July 17, 2019

KEM BESTARI SOLAT ZON PENDIDIKAN KUALA KRAU 2019



17 JULAI 2019 - Zon Pendidikan Kuala Krau telah mengadakan program Kem Bestari Solat di Masjid An Nur, Kuala Krau. Program ini melibatkan peserta dari kalangan  murid-murid sekolah di dalam Zon Pendidikan Kuala Krau. Kem Bestari Solat adalah modul utama dalam perlaksanaan JQAF dan mempunyai kesinabungan dari tahun ke tahun.  Justeru, pelaksanaannya pada kali ini adalah untuk memantapkan lagi penguasaan para peserta dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan solat.




            Dalam Kem Bestari Solat ini, peserta akan diberi penerangan dan tunjuk cara tentang cara berwudhuk dengan sempurna, menguasai niat solat sendirian dan berjemaah, melaksanakan semua perbuatan di dalam solat dengan betul dan menguasai bacaan dan perbuatan serta dapat mengaplikasikannya dengan baik dan lancar. Peserta juga di beri pendedahan cara menunaikan solat secara berjemaah dan individu. Majlis penutup di sempurnakan oleh Pengerusi MPKK Kuala Krau.


                                                          Lebih banyak foto disini

Monday, July 15, 2019

MAJLIS PERSARAAN PN. RUSMAWAR BINTI ABDUL RASHID

27 JUN 2019 - Pada hari ini merupakan hari bersejarah buat Puan Rusmawar binti Abdul Rashid cikgu dari Sekolah Kebangsaan Felda Jenderak Selatan. Hari ini adalah hari persaraan cikgu Rusmawar setalah 30 tahun mengabdikan diri memerah keringat membina anak bangsa.

                                               VIDEO KENANGAN MAJLIS PERSARAAN CIKGU RUSMAWAR

Memulakan perkhidmatan di Sk Perasu, Gua Musang Kelantan pada 1 Januari 1989, banyak jasa dan pengorbanan yang dicurahkan bagi melahirkan anak bangsa yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Beliau bukan sahaja disayangi oleh anak murid, malah turut disenangi oleh rakan sejawat dan pentadbir kerana sikap beliau yang ringan tulang, peramah dan tidak loket memberi nasihat kepada guru-guru muda dan anak murid.


                                              RAKAMAN PENUH MAJLIS PERSARAAN CIKGU RUSMAWAR

Monday, July 1, 2019

MESYUARAT PENGURUSAN PKG DAERAH TEMERLOH, MAJLIS LAMBAIAN KASIH & JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI PKG DAERAH TEMERLOH 2019

                                           PEGAWAI DAN STAF PKG DAERAH TEMERLOH 2019


ISNIN| 1 JULAI 2019 - 3 dalam 1, begitulah yang dapat disimpulkan dalam majlis yang bertempat di Pusat Kegiatan Guru(PKG) Bandar Mentakab pada hari ini. Bagi menyahut langkah-langkah penjimatan yang disarankan oleh pihak  kerajaan, En. Mohamad Faiszal bin Osman selaku ketua PKG Daerah Temerloh telah melontarkan idea agar majlis ini digabungkan serentak pada hari yang sama. Alhamdulillah, majlis ini berjalan dengan lancar dan meriah, walaupun dilaksanakan dengan kesederhanaan.

          Majlis pada hari ini dimulakan dengan Mesyuarat pengurusan PKG Daerah yang di pengerusikan oleh En. Mohamad Faiszal bin Osman. Seramai 14 orang pegawai dan staf PKG Daerah Temerloh hadir dalam mesyuarat ini.

         Majlis diteruskan dengan program Lambaian Kasih semperna pertukaran En.Mohd Nizam bin Mat Taib, mantan ketua PKG Bandar Mentakab dan Timbalan Ketua PKG Daerah Temerloh yang bertukar ke PKG Karak pada bulan 5 yang lepas.

        Majlis diakhiri dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat PKG Daerah Temerloh 2019 yang mana semua juadah disediakan dan dibawa sendiri oleh Pegawai serta staf PKG Daerah Temerloh. Walaupun majlis ini diraikan secara sederhana tetapi sambutannya tetap meriah. Terima kasih kepada semua pegawai dan staf PKG Daerah Temerloh yang terlibat dan memberikan sepenuh kerjasama dalam menjayakan program ini.


                                        Lihat lebih banyak gambar disini

Thursday, June 13, 2019

MAJLIS PERSARAAN USTAZAH ZABIDAH, SK KUALA KRAU 2019

Ustazah Zabidah ( Memakai Selepang) bergambar dalam majlis persaan beliau di SK Kuala Krau.


Bersama bonda tercinta yang masih sihat dan ceria. Semoga terus cemerlang di dunia dan akhirat.

14 JUN 2019 | 10 Syawal 1440 – JUMAAT  : Hari ini menceritakan sebuah lembaran sejarah bahawa seorang guru telah menamatkan tugas rasminya, sebagai seorang pendidik iaitu Ustazah Zabidah binti Ahmad. Khidmat beliau hampir 35 tahun bertugas sebagai pendidik telah melalui pelbagai kepayahan, suka dan duka telah dilalui dengan sabar dan tabah. Akhirnya pada hari ini beliau telah mulai bersara. Kehidupan sebagai seorang pendidik tidak tampak susah dalam amalan kehidupan beliau kerana sentiasa gigih dan cekal mendidik anak bangsa demi kelangsungan yang jitu bagi bangsa, agama dan tanah air tercinta ini.
Ustazah Zabidah telah dilahirkan 17 Jun 1959 di sebuah kampung di Kuala Krau, telah meneruskan pendidikan awal di SK Kuala Tekal bermula 1966 hingga 1971. Ia tidak berhenti di sini sahaja, malah telah meneruskan pendidikan ke sebuah sekolah menengah agama tidak jauh dari tempat kelahiran beliau, iaitu SMA Darul Naim, Kuala Krau dari tahun 1976 hingga 1977.
Meneruskan cita-cita yang lebih tinggi, beliau telah meneruskan pendidikan  di SMA Khairiah, Temerloh dalam sekitar tahun 1978 hingga 1979. Seterusnya kelangsungan pendidikan beliau diteruskan setelah berjaya mendapatkan pendidikan yang lebih baik di SMA Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dalam lewat tahun 1980 hingga 1982. Kejayaan ini telah dapat menempatkan beliau ke Maktab Perguruan Islam pada tahun 1989 sebagai guru agama atau ustazah. Kesudahan itulah bermulalah sejarah baharu dalam hidupnya sebagai penjawat awam, bergelar ustazah.
Bergelar suri hati kepada Encik Masriman bin Muti, seorang pegawai polis. Keluarga beliau telah dikurniakan dengan 3 orang anak, iaitu seorang lelaki dan 2 orang perempuan. Semua ini ketentuan Allah yang Maha hebat telah melengkapkan perjalanan hidup yang bahagia dan harmoni. Semoga kebahagiaan ini berterusan hingga ke Jannah.
Walaupun kerjaya beliau sebagai ustazah tidaklah keluar jauh, dan hanya berbakti di sekitar daerah kelahiran beliau, iaitu di SK Jenderak (1989-2000) dan SK Kuala Krau (2001-2019), namun jaya baktinya amat besar yang tidak mampu diukur dengan wang ringgit apa lagi emas dan permata. Ilmu yang beliau curahkan telah mengalir dalam segenap lapisan masyarakat dan segar bagaikan mekar mawar mewangi ke seluruh alam indah ini. Semoga jasa bakti beliau yang ditaburkan selama ini, jadi jariah buat beliau dan dikenang sepanjang masa.
“Jasa bakti beliau sangat besar dan sentiasa dihargai serta akan sentiasa dikenang dalam sejarah pendidikan di tanah tumpah darah ini. “ Ujur Halimi, Guru Besar SK Kuala Krau dalam ucapan persaraan Ustazah Zabidah ini. Halimi yang juga rakan sekolah dengan Ustazah Zabidah ini, menceritakan bahawa kesukaran semasa sekolah di SK Kuala Tekal awal pendidikan dulu, membuatkan Ustazah Zabidah ini cekal dan berjiwa besar untuk menempa diri dalam bidang pendidikan.
“Akhirnya, beliau dapat menjadi seorang guru yang berjaya dan dihormati sehingga kini.” Ujar encik Halimi dalam seri ucapannya. Walaupun kenangan itu telah lama berlalu, kesukaran itu telah lama ditinggalkan, akhirnya dengan berkat kesabaran, kegigihan dan kecekalan, Ustazah Zabidah telah berjaya mengukir nama sebagai seorang pendidik dalam riwayat hidupnya.
“Bersara hanya sebagai penjawat awam sahaja, tetapi dari segi hakikatnya masih belum bersara dalam menyebarkan fahaman agama terutamanya dalam konteks akidah. Saya berasa amat takut berkaitan dengan akidah ini dan akan sentiasa memberi bimbingan walaupun saya sudah bersara pada hari ini.” Ulasan Ustazah Zabidah dalam ucapan terakhir beliau sebagai penjawat awam. Nada suara beliau sangat jelas dan ketegasannya soal pendidikan agama seperti tiada kompromi dan akan  terus memberi bakti dan bimbingan. Keiltizaman beliau adalah bukti kepada satu ukwah dan asabiah dalam dirinya sebagai pewaris nabi tidak tampak luntur dan sentiasa berkilau untuk bangsa, agama dan tanah air tercinta ini.
Akhirnya dalam majlis ini, beliau dihargai dengan pelbagai hadiah kenang-kenangan daripada anak-anak murid, sahabat dan kenalan yang lain. Majlis ini juga diserikan dengan jamuan juadah raya berkesempatan sempena syawal yang sedang dilalui ini. Semoga Ustazah Zabidah terus dikurniakan kesihatan yang baik dan semua kehidupan yang lebih baik selepas persaraan dan sentiasa dirahmati. Selamat bersara dan terus cemerlang di dunia dan akhirat.


                                     Lihat lebih banyak gambar disini