Ustazah Zabidah ( Memakai Selepang) bergambar dalam majlis persaan beliau di SK Kuala Krau. |
Bersama bonda tercinta yang masih sihat dan ceria. Semoga terus cemerlang di dunia dan akhirat. |
14 JUN 2019 | 10 Syawal 1440 – JUMAAT : Hari ini menceritakan sebuah lembaran
sejarah bahawa seorang guru telah menamatkan tugas rasminya, sebagai seorang
pendidik iaitu Ustazah Zabidah binti Ahmad. Khidmat beliau hampir 35 tahun
bertugas sebagai pendidik telah melalui pelbagai kepayahan, suka dan duka telah
dilalui dengan sabar dan tabah. Akhirnya pada hari ini beliau telah mulai
bersara. Kehidupan sebagai seorang pendidik tidak tampak susah dalam amalan
kehidupan beliau kerana sentiasa gigih dan cekal mendidik anak bangsa demi kelangsungan
yang jitu bagi bangsa, agama dan tanah air tercinta ini.
Ustazah Zabidah telah dilahirkan 17 Jun 1959 di sebuah kampung
di Kuala Krau, telah meneruskan pendidikan awal di SK Kuala Tekal bermula 1966
hingga 1971. Ia tidak berhenti di sini sahaja, malah telah meneruskan
pendidikan ke sebuah sekolah menengah agama tidak jauh dari tempat kelahiran
beliau, iaitu SMA Darul Naim, Kuala Krau dari tahun 1976 hingga 1977.
Meneruskan cita-cita yang lebih tinggi, beliau telah
meneruskan pendidikan di SMA Khairiah,
Temerloh dalam sekitar tahun 1978 hingga 1979. Seterusnya kelangsungan
pendidikan beliau diteruskan setelah berjaya mendapatkan pendidikan yang lebih
baik di SMA Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan dalam lewat tahun 1980 hingga 1982.
Kejayaan ini telah dapat menempatkan beliau ke Maktab Perguruan Islam pada
tahun 1989 sebagai guru agama atau ustazah. Kesudahan itulah bermulalah sejarah
baharu dalam hidupnya sebagai penjawat awam, bergelar ustazah.
Bergelar suri hati kepada Encik Masriman bin Muti, seorang
pegawai polis. Keluarga beliau telah dikurniakan dengan 3 orang anak, iaitu
seorang lelaki dan 2 orang perempuan. Semua ini ketentuan Allah yang Maha hebat
telah melengkapkan perjalanan hidup yang bahagia dan harmoni. Semoga
kebahagiaan ini berterusan hingga ke Jannah.
Walaupun kerjaya beliau sebagai ustazah tidaklah keluar
jauh, dan hanya berbakti di sekitar daerah kelahiran beliau, iaitu di SK
Jenderak (1989-2000) dan SK Kuala Krau (2001-2019), namun jaya baktinya amat
besar yang tidak mampu diukur dengan wang ringgit apa lagi emas dan permata.
Ilmu yang beliau curahkan telah mengalir dalam segenap lapisan masyarakat dan
segar bagaikan mekar mawar mewangi ke seluruh alam indah ini. Semoga jasa bakti
beliau yang ditaburkan selama ini, jadi jariah buat beliau dan dikenang
sepanjang masa.
“Jasa bakti beliau sangat besar dan sentiasa dihargai serta
akan sentiasa dikenang dalam sejarah pendidikan di tanah tumpah darah ini. “
Ujur Halimi, Guru Besar SK Kuala Krau dalam ucapan persaraan Ustazah Zabidah
ini. Halimi yang juga rakan sekolah dengan Ustazah Zabidah ini, menceritakan
bahawa kesukaran semasa sekolah di SK Kuala Tekal awal pendidikan dulu,
membuatkan Ustazah Zabidah ini cekal dan berjiwa besar untuk menempa diri dalam
bidang pendidikan.
“Akhirnya, beliau dapat menjadi seorang guru yang berjaya
dan dihormati sehingga kini.” Ujar encik Halimi dalam seri ucapannya. Walaupun
kenangan itu telah lama berlalu, kesukaran itu telah lama ditinggalkan,
akhirnya dengan berkat kesabaran, kegigihan dan kecekalan, Ustazah Zabidah
telah berjaya mengukir nama sebagai seorang pendidik dalam riwayat hidupnya.
“Bersara hanya sebagai penjawat awam sahaja, tetapi dari
segi hakikatnya masih belum bersara dalam menyebarkan fahaman agama terutamanya
dalam konteks akidah. Saya berasa amat takut berkaitan dengan akidah ini dan
akan sentiasa memberi bimbingan walaupun saya sudah bersara pada hari ini.”
Ulasan Ustazah Zabidah dalam ucapan terakhir beliau sebagai penjawat awam. Nada
suara beliau sangat jelas dan ketegasannya soal pendidikan agama seperti tiada
kompromi dan akan terus memberi bakti
dan bimbingan. Keiltizaman beliau adalah bukti kepada satu ukwah dan asabiah
dalam dirinya sebagai pewaris nabi tidak tampak luntur dan sentiasa berkilau
untuk bangsa, agama dan tanah air tercinta ini.
Akhirnya dalam majlis ini, beliau dihargai dengan pelbagai
hadiah kenang-kenangan daripada anak-anak murid, sahabat dan kenalan yang lain.
Majlis ini juga diserikan dengan jamuan juadah raya berkesempatan sempena
syawal yang sedang dilalui ini. Semoga Ustazah Zabidah terus dikurniakan
kesihatan yang baik dan semua kehidupan yang lebih baik selepas persaraan dan
sentiasa dirahmati. Selamat bersara dan terus cemerlang di dunia dan akhirat.
Lihat lebih banyak gambar disini
Lihat lebih banyak gambar disini